Ilman day by day

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers

Friday, September 24, 2010

DR Asri: Shanghai, Islam, Melayu Dan 1 Malaysia

Shanghai, Islam, Melayu Dan 1 Malaysia
Disiarkan pada Sep 24, 2010 dalam kategori Tamadun |
SHANGHAI, ISLAM, MELAYU DAN 1 MALAYSIA
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ketika saya menulis rencana ini, saya sedang berada di Shanghai dan menuju
ke Xian dan Beijing. Beberapa hari lepas, pada 21hb September 2010, saya
menyertai satu rombongan VVIP melawat Shanghai World Expo 2010. Satu expo
yang teramat besar bermula dari Mei sehingga Oktober 2010. Hampir 200
negara menyertainya. Kos keseluruhan expo ini mungkin puluhan billion
ringgit. Setiap negara membina astaka atau pavilion mereka sendiri untuk
memperkenalkan negara mereka kepada dunia. Setiap negara membelanjakan
puluhan, bahkan ratusan juta untuk itu. Saya difahamkan, Malaysia sendiri
membelanjakan tidak kurang dari RM 20 juta untuk membina Malaysia Pavilion
di expo tersebut. Di sebabkan terlalu luas kawasan expo ini, jika anda
melawatnya, dalam sehari anda mungkin hanya dapat melawat sekitar belasan
astaka sahaja. Terlalu luas dan terlalu ramai pengunjungnya. Target 70 juta
pelawat ke expo tersebut mungkin tercapai dengan mudahnya. Bayangkan 70
juta pengunjung, melebihi dua kali penduduk Malaysia.

Tinjauan
Terlebih dahulu, walaupun saya datang menyertai rombongan VVIP, tulisan
saya ini hanya mewakili pemerhatian saya secara peribadi. Secara umumnya,
saya rasa rakyat Malaysia tahu bahawa pandangan-pandangan sebelum –insya
Allah- bebas dari unsur perkauman dan fanatik. Saya berusaha bersikap adil,
itulah titah agama yang luhur. Maka saya harap rencana ini dibaca dengan
semangat kenegaraan dan hakikat sebuah negara bernama Malaysia.
Pertamanya, saya mengucapkan jutaan terima kasih yang teramat sangat kepada
pihak Kementerian Pelancongan Malaysia yang menyambut kedatangan rombongan
kami dengan penuh layanan mesra. Budi baik amat dikenang. Saya juga rasa
patut berterima kasih atas usaha kementerian berkenaan memperkenalkan
Malaysia di expo berprestij tersebut.
Atas usaha pihak kosulat Malaysia di Shanghai dan Kementerian Pelancongan,
kami mendapat layanan istimewa di setiap pavilion negara-negara yang kami
lawati. Alhamdulillah, dan terima kasih!
Islam
Namun, atas hak sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sedikit ingin
memberikan pandangan peribadi di sini. Ada beberapa gambaran yang saya rasa
kurang kemas dalam expo tersebut. Saya tidak pasti ia berlaku secara
sengaja, atau tidak sengaja. Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia kita wajar
mengakui beberapa hakikat negara kita. Antaranya, kita berbilang agama dan
bangsa. Islam adalah agama rasmi dan mempunyai penganut yang paling besar.
Agama-agama lain juga wujud secara aman. Orang melayu adalah majoriti
terbesar. Kaum-kaum lain juga hidup secara aman. Kita semua sepatutnya
berusaha ke arah kedamaian dan keharmonian. Jika kita ingin menceritakan
negara kita ini kepada dunia, inilah hakikatnya. Ia bukan soal perkauman
atau fanatik agama, tetapi itulah realiti negara kita. Tiada cacatnya
menceritakan realiti itu kepada dunia.
Namun saya rasa, jika saya tidak tahu tentang Malaysia, saya datang ke
Malaysia Pavilion di Shanghai World Expo 2010, saya mungkin akan mengagak
bahawa agama Kristian adalah agama majoriti rakyat Malaysia. Tempat-tempat
ibadat yang di paparkan hanyalah dua buah gereja. Itu pun bangunan binaan
tinggalan penjajah Portugis, bukan binaan rakyat Malaysia. Ini seperti
gambar yang saya sertakan. Entah berapa banyak masjid dan seni binanya yang
cantik, namun tidak ditonjolkan. Lojiknya, tonjollah secara seimbang dengan
menggambarkan kepelbagaian agama. Sudah pasti Islam sebagai agama rasmi,
tidak boleh dinafikan kedudukannya, kerana itulah realiti kita.
(Embedded image moved to file: pic07566.jpg)

Hanya inilah dua pusat ibadat yang tertonjol di Malaysia Pavilion di
Shanghai. Penulis berdiri di hadapan dua gambar tersebut yang terpapar
ketika memasuki ke Malaysia Pavilion.
Mungkin ada pihak berfikir, menggambarkan Islam sebagai agama yang terbesar
di Malaysia kurang menarik bagi masyarakat antarabangsa. Jika itulah
fikiran mereka, bererti kita cuba menafikan realiti nagara kita, dan amat
tidak adil untuk penganut Islam di Malaysia. Negara-negara Islam lain tidak
menafikan pun hakikat mereka. Bahkan di China sendiri, ada province
(wilayah) yang majoriti penganutnya beragama Islam, iaitu Wilayah Ningxia.
Dalam expo Shanghai ini, China Pavilion menonjolkan wilayah tersebut dan
kehidupan penduduknya. Agama dan budaya mereka. Saya merakam beberapa
gambar yang saya ambil ketika melawat pameran Wilayah Ningxia di China
Pavilion. China menggambarkan kepelbagaian mereka atas konsep 'hidup di
bawah satu bumbung'.
(Embedded image moved to file: pic18270.jpg)

Penulis bersama dengan lelaki Ningxia yang berpakaian menunjukkan kesan
Islam dalam kehidupan mereka.
(Embedded image moved to file: pic19558.jpg)

Pakaian wanita Ningxia juga menggambarkan kesan Islam dalam masyarakat
mereka. Gadis ini sedang menuang teh khas kepada tetamu kepada penulis
ketika disambut sebagai rombongan VIP.
Bahkan lebih daripada itu, pavilion yang paling mewah dan mendapat sambutan
besar adalah Arab Saudi Pavilion. Dikatakan mereka membelanjakan lebih US
200 juta untuk expo tersebut. Arab Saudi cuba menonjolkan kehebatan Islam
yang menjadi teras kehidupan rakyat mereka, bahkan umat Islam
keseluruhannya. Kecanggihan teknologi digunakan. Mereka mendapat sambutan
yang amat menggalakkan. Orang ramai sanggup beratur berjam-jam untuk
memasuki pavilion mereka.
Begitu juga kebanyakan negara-negara Arab Teluk yang lain, tetap mengakui
Islam mempunyai akar umbi dalam kehidupan mereka. Iran yang sering dituduh
dengan keganasan itupun, tetap menonjolkan unsur Islam dalam kehidupan
rakyat mereka. Maka, di expo yang berprestij ini, saya tidak rasa rendah
diri dengan unsur Islam.
Maka bagi saya, ketidak tonjolan Islam sebagai sebuah agama besar di
Malaysia, amatlah tidak adil kepada penduduk majoriti sebuah negara bernama
Malaysia. Jika tidak banyak, sedikit pun tetap perlu dinyatakan.
Seni
Begitu juga di sudut seni. Kita tidak boleh menafikan bahawa orang melayu
juga mempunyai pelbagai karya seni. Sepatutnya, wajar sedikit sebanyak
ditonjolkan. Ini seperti yang ditunjukkan Morocco pavilion yang
menggambarkan kehalusan seni tempatan mereka. Bahkan, jika saya tidak tahu
apa-apa tentang Malaysia, gambar seni lukisan yang paling besar di pavilion
kita menggambarkan kaum India dan agama Hindu. Ini seperti gambar yang saya
sertakan. Tidak adakah sedikit untuk kaum majoriti dan agama majoriti?
Gambar-gambar lain amatlah abstrak, di samping kecil, ia boleh ditafsirkan
dengan pelbagai maksud.
(Embedded image moved to file: pic20954.jpg)

Gambar seni yang terbesar yang dipaparkan di Astaka Malaysia, Shanghai
World Expo 2010.
Putrajaya
Saya rasa kita patut berbangga dengan keindahan Bandar Putrajaya. Di sudut
seni bina dan keindahan, ia adalah salah satu kejayaan. Patut ditonjolkan
kepada dunia. Demikian juga binaan-binaan canggih lain dalam negara kita.
Cumanya, saya gagal menemui gambaran keindahan Putrajaya di Malaysia
Pavilion, Shanghai World Expo. Lebih mengejutkan, gambar pusat perjudian
dan peranginan Genting terpapar di sana. Sebagai seorang muslim, saya tentu
rasa rendah diri jika saya ditanya oleh pelawat asing mengenai hal
perjudian itu kepada saya. Memang kita tidak nafikan ia wujud, dan saya
sebagai muslim tidak pernah meredhai perkara itu. Tetapi, untuk tatapan
dunia, tidakkah kita mempunyai banyak pilihan yang lain. Saya makin bingung
dengan konsep 1 Malaysia ini!
(Embedded image moved to file: pic28677.jpg)

Gambar Genting yang ditonjolkan di Pavilion Malaysia.
Kaum
Negara kita mempunyai pelbagai kaum. Inilah salah satu keunikan kita. Orang
melayu adalah majoriti, seterusnya diikuti kaum lain. Jika kita ingin
menceritakan kepada dunia, maka ceritalah sedemikian rupa. Namun, jika saya
tidak tahu apa-apa tentang Malaysia dan mengunjungi Malaysia Pavilion di
Shanghai, saya akan kata kaum utama adalah kaum peranakan baba dan nyonya.
Itulah gambar utama yang tertonjol. Kaum-kaum lain tidak ditonjolkan. Jika
adapun, pakaian para penari yang mewakili pelbagai kaum. Itupun, hanya
orang tahu dan pernah ke Malaysia mungkin akan faham. Orang luar, mereka
memahami apa yang terpapar sahaja.
(Embedded image moved to file: pic01372.jpg)

Salah satu gambar utama semasa pintu masuk ke Malaysia Pavilion di
Shanghai.
Sebuah Catatan
Banyak persoalan berligar di kepala saya selepas mengunjungi Shanghai World
Expo ini. Di mana saya sebagai seorang muslim melayu Malaysia. Saya tidak
perkauman. Sama sekali tidak. Para pembaca dapat membaca
pandangan-pandangan saya sebelum yang amat anti sikap fanatik kaum atau
agama. Namun, saya rakyat Malaysia yang pasti enggan haknya dinafikan. Saya
tidak ingin bertanya kepada pihak yang menguruskan, tetapi saya ingin
bertanya Kerajaan Malaysia yang membelanja wang rakyat melebihi RM 20 juta
untuk expo ini. Di Shanghai World Expo 2010, di manakah saya sebagai rakyat
muslim di bawah konsep 1 Malaysia?

No comments: