** Satu penceritaan yg bagus, yg dicedok dari email yg difwd oleh rakan2.
Tiada perubahan dilakukan keatas isi kandungan risalah.
Jun 6th, 2009
by Hilal Asyraf.
http://ms.langitilahi.com/bila-kamu-bising-fasal-ikhtilat/
(Embedded image moved to file: pic31323.jpg)kami kawan je, bukan ada
apa-apa... ya kah? Anda kah yang menentukannya?
kami kawan je, bukan ada apa-apa... ya kah?
Anda kah yang menentukannya?
Ikhtilat. Maksudnya percampuran. Biasanya, kalimah ini digunakan, dengan
merujuk kepada percampuran antara lelaki dan perempuan secara tidak syara'.
Ada seorang 'bro' ni, yang menggunakan nickname Mankind bertanya kepada
saya:
" salam..bro.Asyraf..ap pendpt kalau lelaki berkwn rpt dgn perempuan..salah
ke?m'langgar ikhtilat ?.. sesetgh dr kami yg b'fikiran 'cinta2 tu tidak
d'janjikan…tp friendship itu pastilah'…tp sesetgh org m'mndang
serong..kalau b'kwn b'lainan jantina. mcm berdosa besar..setiap kita
memerlukan antra satu sama lain..sy susah btul nak hndle org mcm ni"
Saya sudah berjanji dengan Bro Mankind ni, untuk membicarakan hal yang dia
tanyakan ini di dalam satu post khas. Biar semua orang boleh kongsi
manfaatnya.
Maka Bro Mankind, izinkanlah 'Bro Asyraf' kamu ni menerangkan. Harapnya
kita semua dapat buka hati kita dalam berkomunikasi dengan masalah ini ya.
Yang benar itu tetap benar walaupun semua orang tidak suka, yang batil itu
tetap batil walau seluruh dunia menyukainya.
Sebenarnya, percampuran lelaki dengan perempuan adalah amat dipandang berat
oleh ISLAM. Tidak hairanlah jika kita tidak menjaga pergaulan kita dengan
kaum berlawanan jenis, maka kita akan dipandang serong dan mungkin akan
dikutuk cela.
ALLAH SWT berfirman: " Dan janganlah kamu mendekati zina,
sesungguhnya(zina) itu adalah satu perbuatan yang keji, dan jalan yang
buruk" Surah Al-Israa' ayat 32.
Ayat ini popular bukan? Selalu kita dengar orang melaung-laung ulang ayat
ini bila hendak menceritakan hal kenapa dilarangnya bercampur lelaki dengan
perempuan. Tetapi ramai yang membalas semula: " Kami bukan nak berzina.
Kami kawan je. Mana ada sentuh-sentuh."
Tak mengapa. Kamu cerdik. Pandai kamu memberikan alasan. Saya tinggalkan
dulu persoalan " Kami bukan nak berzina" ini. Mari kita perhatikan terlebih
dahulu, bagaimanakah ALLAH menitik beratkan pergaulan lelaki dan perempuan
ini.
Kalau kita perhatikan, ayat larangan mendekati zina terletak di
tengah-tengah Surah Al-Israa. Bukan di hadapan, bukan di belakang. Itu ayat
melarang. Satu teguran, pesanan daripada ALLAH SWT untuk menyatakan
buruknya zina itu. Ayat sebegitu diletak di tengah-tengah.
Mari kita selak Surah An-Nur. Lihat, apa yang ALLAH SWT firmankan di awal
surah itu:
" Inilah satu surah yang KAMI turunkan dan KAMI wajibkan(menjalankan
hukum-hukumnya), dan KAMI turunkan di dalamnya(surah ini)
tanda-tanda(kebesaran ALLAH) yang jelas agar kamu tergolong dari kalangan
orang yang beringat" Surah An-Nur ayat 1.
Lihat ayat seterusnya:
" Penzina perempuan dan penzina lelaki, sebatlah kedua mereka dengan
seratus sebatan, dan janganlah rasa belas kasihan kammu terhadap mereka
bedua mencegah kamu untuk(menjalankan) agama(hukum) ALLAH, jika kamu
beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Dan hendaklah(perlaksanaan) hukuman
mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman" Surah An-Nur
ayat 2.
Pada ayat kedua, terus ALLAH SWT menyatakan hukuman zina. Tanpa ada
mukaddimah yang panjang, tanpa menyatakan cara-cara menjauhi zina, ALLAH
terus menarik perhatian manusia dengan menyatakan hukuman terlebih dahulu.
Hal ini menunjukkan, betapa penting dan besarnya permasalahan zina ini.
" Ya la, kami bukan nak berzina" Mungkin ada di antara kita membantah. Ya
ya, saya faham. Tapi sekarang, kamu nampak tak berzina ni benda yang
amat-amat tercela dan terlarang? ALLAH SWT menitik beratkan permasalahan
zina ini, berbanding permasalahan menyebar berita palsu, masalah masuk
rumah tanpa izin dan pelbagai lagi masalah yang disebut di dalam Surah
An-Nur. Dalam banyak masalah itu, zina adalah yang ALLAH letakkan paling
hadapan. Malah, bukannya menyatakan itu dan ini berkenaan zina. Tetapi
terus kepada hukuman. Dari segi uslub bahasa, ini menunjukkan bahawa
permasalahan zina adalah besar.
" Ya la, tapi kau tak faham ke, kami bukan nak berzina" Ok. Tapi berzina ni
benda yang besar, itu kita setuju dan bersepakat bukan? " ya la. Tapi
masalahnya, besar mana pun zina tu, kami berkawan je, bukan nak buat zina
tu. So, apa masalahnya?"
Hu hu… Pandainya.
Dalam semua perkara yang terjadi dalam dunia ini, ada yang tiba-tiba terus
berlaku kah? Pokok, tiba-tiba terus jadi pokok yang tinggi, banyak cabang.
Rumah, tiba-tiba terus terpacak bangunan dua tingkat, bersama swimming pool
dan sebagainya. Begitu?
Semua perkara, ada permulaannya. Begitu juga dengan zina. Agak-agak, kalau
terus-terus ajak perempuan atau lelaki berzina, dia mahu kah? Mahu kena
lempang kamu. Berzina ada gerak langkahnya. Boleh bermula dengan
seringan-ringan chatting, boleh bermula dengan semudah perbualan, malah
yang paling senang boleh bermula dengan penglihatan.
Di dalam Surah An-Nur, ALLAH SWT berfirman:
" Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, agar mereka menjaga
pandanngan mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih
suci bagi mereka. Sesungguhnya, ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka
kerjakan" Surah An-Nur ayat 30.
Kemudian ALLAH SWT berfirman: " Dan katakanlah kepada para perempuan yang
beirman, agar mereka menjaga pandanngan mereka, dan memelihara kemaluan
mereka…" Surah An-nur ayat 31.
Kalau diperhatikan dari segi susunan dan penggunaan ayat, ada sesuatu yang
besar di dalam larangan mendekati zina tadi. Kita perhatikan, di dalam
Surah Al-Israa' ayat 115, ALLAH SWT menyebut: " Dan janganlah kamu dekati…"
Perkataan 'dekati'(dalam bahasa arab: Taqrobu) itu digunakan. Kalau di
dalam Surah An-Nur ayat 30 itu, di penghujungnya ALLAH menyatakan: "
Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan" Kalau dilihat
dalam bahasa arab, 'apa yang mereka kerjakan itu' ALLAH telah gunakan
perkataan ma yasna'uun bukannya ma yaf'aluun (Kalau diterjemahkan ke bahasa
melayu, maknanya akan kelihatan sama. Yakni maksudnya: Apa yang mereka
kerjakan)
Tetapi, tidak ramai yang tahu perbezaan yasna'uun dan yaf'aluun. Tahukah
kamu apakah perbezaannya? Yaf'aluun ini membawa maksud benda yang kita buat
tanpa berdikit-dikit. Contohnya, menampar. Terus sahaja tamparan kita
melayang, tidak lama pun. Mungkin dalam masa beberapa saat. Contoh lain
berbohong, terus sahaja kita berbohong, tak perlu jangka masa lama pun.
Tetapi yasna'uun ini berbeza maksudnya. Yasna'uun membawa maksud perbuatan
yang berdikit-dikit, terancang, perlahan-lahan hingga mencapai hasilnya.
Sebab itu, kalau anda perasaan, perkataan 'kilang' dalam bahasa arab adalah
'sina'ah'. Kenapa perkataan 'kilang' diterjemahkan sebagai 'sina'ah' dalam
bahasa arab? Hal ini kerana, kilang memprodus sesuatu perkara itu
berdikit-dikit, terancang. Macam kilang buat kereta, bukannya kereta itu
terus menjadi kereta. Ada checkpoint-checkpointnya di dalam kilang.
Bahagian pasang tingkap, bahagian pasang wayar, bahagian pasang tayar dan
sebagainya. Perlahan-lahan sebuah kereta melalui proses, yang akhirnya di
penghujung, menjadi sebuah kereta yang boleh dipandu. Begitulah maksud
yasna'uun. Perbuatan berdikit-dikit, terancang, satu demi satu, hingga
mencapai matlamat.
Kenapa ALLAH gunakan Yasna'uun dalam kes menundukkan pandangan dan menjaga
kemaluan? Maksudnya, ALLAH itu Maha Tahu, dari berkenaan pergerakan kita
hendak menghampiri zina itu, dan semua itu dilarang. Itulah kaitannya
dengan " Jangan kamu mendekati…". Perlahan-lahan kita menghampiri zina, dan
itu adalah perkara yang dilarang.
Kemudian kita lihat susunan ayat 30 dan 31. Apakah yang kita perasan? ALLAH
telah menyebut lelaki terlebih dahulu sebelum perempuan bukan? Ayat 30,
ALLAH berpesan kepada lelaki terlebih dahulu, barulah kepada perempuan
bukan? Apakah maksud yang tersirat di sebalik penyusunan ayat ini?
ALLAH hendak menyatakan secara halus, bahawa lelaki itu lebih lemah dalam
berurusan dengan hawa nafsu. Lelakilah yang mudah terjerumus, tergugat,
bila melihat perempuan berpakaian terdedah, bila digoda dan sebagainya.
Sebab itulah ALLAH SWT menyebut lelaki terlebih dahulu.
Di dalam ayat 2 Surah An-Nur pula, kalau kita perasan, ALLAH menyebut: "
Penzina perempuan dan penzina lelaki…" Di situ, kita dapat melihat ALLAH
menyebut perempuan terlebih dahulu sebelum lelaki dalam hukuman zina.
Kenapa? Sedangkan dalam ayat hukuman kepada pencuri, ALLAH berfirman: "
Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri…" (Al-Maidah: 38) ALLAH
telah mengutamakan lelaki dari perempuan. Kenapa dalam hukuman zina,
perempuan di dahulukan?
Mudah sahaja. Hal ini kerana, perempuan biasanya menjadi faktor kepada zina
itu sendiri. Kalau dalam hal kecurian, lelaki mempunyai lebih kudrat untuk
menjadi pencuri berbanding perempuan. Nampak? Susunan ayat di dalam
Al-Quran juga ada rahsianya.
" Ala, kami sembang je, studi sama-sama, bukan nak sentuh-sentuh, bukan nak
cium-cium"
Kamu bagi alasan lain. Kenapa nak buat juga walaupun sudah nampak ALLAH
larang perkara ini? Tetapi tak mengapalah. Saya layan. Saya bagi pandangan
saya.
Saya bagi soalan. Kita ini dengan Nabi Adam, siapakah yang lebih hebat
lagi?
Nabi Adam itu Nabi, pernah hidup dalam syurga, dicipta langsung oleh ALLAH
SWT, dan malaikat-malaikat pernah sujud kepadanya. Tapi, tahukah kamu apa
yang terjadi kepada baginda? Bukankah baginda tertipu oleh syaitan?
Bukankah baginda diturunkan ke bumi kerana tertipu denga syaitan?
Jangan ingat, dalam kehidupan kita, hanya ada manusia, tumbuhan, dan haiwan
sahaja. Dalam kehidupan kita, ada syaitan yang telah bersumpah untuk
menyesatkan kita dengan bersungguh-sungguh. Syaitan yang telah berjaya
menipu Nabi Adam, syaitan yang telah berjaya menyesatkan jutaan abid.
Anda lebih hebat daripada Nabi Adam kah?
Kalau kita perasan, sahabat-sahabat Rasulullah SAW juga menuntut ilmu
dengan isteri Rasulullah SAW selepas kewafatan Rasulullah SAW. Bagaimana
kah cara mereka menuntut ilmu dengan isteri Rasulullah SAW?
Isteri Rasulullah SAW akan berada di belakang tabir, kemudian menyampaikan
ilmu.
Nampak? Wahai perempuan, anda dengan isteri Rasulullah SAW, siapakah yang
lebih tinggi imannya? Wahai lelaki, siapakah anda jika hendak dibandingkan
dengan sahabat Rasulullah SAW? Alangkan mereka yang telah dijanjikan syurga
ini pun masih lagi bertabir, menjaga pandangan, menjaga pergaulan mereka,
bagaimanakah anda?
Kenapa mereka begitu menjaga sekali pergaulan? Hal ini kerana, meraka faham
bahawa syaitan itu akan berusaha bermati-matian untuk menyesatkan. Syaitan
akan mencari lubang-lubang untuk membuat serangan. Maka, cara yang terbaik
adalah menutup langsung lubang-lubang itu. Cara melarang melakukan perkara
kecil yang ditakuti mendatangkan mudarat yang besar ini adalah dinamakan
Sadduz Zara'i'. Sadduz Zara'i' adalah salah satu cara yang digunakan ulama'
dalam menjatuhkan hukum.
Mari kita perhatikan firman ALLAH SWT dalam Surah An-Nur juga pada ayat 21.
" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kau mengikuti jejak langkah
syaitan. Maka sesungguhnya dia(syaitan) mengajak kamu mengerjakan perbuatan
keji dan mungkar…"
Lihat, apakah perkataan yang ALLAH gunakan dalam pesanan ini. " Janganlah
kamu mengikuti jejak langkah syaitan…" Lihat, jejak langkah. Maksudnya,
syaitan ini akan membawa kita sedikit demi sedikit, sedikit demi sedikit,
hinggalah akhirnya, kita tidak perasan yang kita telah terperangkap dalam
keingkaran kita kepada ALLAH SWT.
Syaitan tak akan kata kepada kita: " Berzinalah kau dengan dia" Gerenti
kita tempelak balik syaitan dengan berkata: " Gila ke? Zina tu dosa besar!"
Syaitan tidak sebodoh itu. Syaitan adalah makhluk yang berjaya membuatkan
beberapa kaum membunuh nabi-nabi mereka. Syaitan adalah makhluk yang pernah
berjaya menundukkan jutaan abid. Syaitan juga adalah makhluk yang berjaya
memperdayakan Nabi Adam. Masakan dia akan bertindak bodoh untuk
memperdayakan kita. Syaitan ada jutaan teknik untuk memperdayakan kita. Dia
akan memimpin kita, perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, bermula dengan
sekecil-kecil perkara, perlahan-lahan mendaki satu demi satu tangga
maksiat, dan akhirnya memerangkap kita dalam kemungkaran. Yang pertama
syaitan lumpuhkan adalah hati. Biar hati tidak nampak lagi itu baik atau
buruk. Kemudian dia akan matikan akal. Biar kita tidak dapat fikirkan lagi
dosa pahala. Akhrinya, dia akan menolak kita melakukan pengingkaran kepada
ALLAH. Bukan dalam hal zina sahaja, tetapi dalam semua medan dosa.
Di akhirat nanti, kita akan berkata kepada ALLAH SWT: " Ya ALLAH, Syaitan
inilah yang menyesatkan aku. Aku tidak mahu ingkar pada ENGKAU sebenarnya,
tetapi syaitan ini telah menutup akalku, mematikan hatiku. Ya ALLAH,
siksalah dia dan jangan kau siksa aku"
Masa itu, tahukah anda apa yang syaitan akan katakan kepada kita?
ALLAH SWT berfirman: Dan syaitan berkata ketika perkara(hisab) telah
diselesaikan: "Sesungguhnya ALLAH telah menjanjikan kepadamu janji yanng
benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku
menyalahinya(menipu). Tidak ada kekuaasaan bagiku terhadapmu(aku tidak
memaksamu) melainkan aku (sekadar) menyerumu. Lalu kamu yang mematuhi
seruanku, oleh sebab itu janganlah kammu mencerca(menyalahkan) aku, tetapi
cercalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menolongmu dan kamu pun tidak akan
dapat emnolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu
menyekutukan aku(dengan ALLAH) semenjak dulu" Sesungguhnya, orang-orang
yang zalim akan mendapat siksaan yang pedih" Surah Ibrahim ayat 22.
Lihat, syaitan yang menghasut akan meninggalkan kita.
Manusia pula, sifatnya lemah. Sebentar di atas, sebentar di bawah. Iman
manusia itu juga sifatnya naik dan turun. Maka, bagaimana kita hendak
menyelamatkan diri kita daripada hasutan tipu daya syaitan, jika kita
sendiri melemahkan diri kita, sengaja berbuat kemungkaran? Bagaimana hendak
menjaga keimanan, ketaatan kepada ALLAH jika kita sendiri yang membuka
pintu untuk syaitan menghasut kita?
Nampak? Adakah sekarang anda sudah nampak kenapa ikhtilat itu tidak
dibenarkan? Nampak kah kamu kenapa ALLAH melarang lelaki dan perempuan
bercampur tanpa batasan?
Masihkah anda hendak berkata: "Ala, kami bukannya apa, kawan je" ?
Syaitan akan mencucuk anda, menghasut anda, dari arah dan cara yang tidak
anda sangka-sangka. Alangkan sahabat Rasulullah SAW, isteri Rasulullah SAW
yang dijanjikan syurga juga berjaga-jaga, bagaimanakah anda yang tidak tahu
ke mana lagi anda akan pergi di hari nanti?
" Ish, susah la…" Alasan anda yang terakhir bukan?
ALLAH akan bayar kesusahan anda yang sedikit ini, dengan syruga yang kekal
abadi, penuh dengan kenikmatan, malah perkara-perkara yang anda tidak
pernah impikan pun ada di dalamnya. Apa lah sangat kesusahan yang ada di
dunia ini?
Dan, perhatian kepada mereka yang mencela, mengutuk, memboikot, menghina
sesiapa yang telah terjebak dengan ikhtilat ini, saya nasihatkan,
hentikanlah.
" Aku dah tegur dia 10 kali, dia tak mahu dengar jugak. Jadi aku boikot la"
" Aku nampak dia pegang tangan dengan makwe dia, aku cela lah. Mana boleh
biar orang macam tu senang. Nanti dia terus lagi buat dosa. Nanti dia ingat
dia betul"
Ya kah? Begitukah caranya menegur?
Jika benar, maka pada hari lelaki arab kencing di dalam masjid, maka
Rasulullah SAW akan membiarkan sahabat-sahabat baginda memukul lelaki itu.
Jika benar, maka pada hari Saidina Umar meminta izin kepada Rasulullah SAW
untuk memenggal kepala ketua munafik, Abdullah ibn Ubay ibn Salul, maka
Rasulullah SAW akan membenarkan. Jika benar, maka Rasulullah SAW tidak akan
mengajak penyembah berhala – syirik, menyekutukan ALLAH, kufur kepada
ALLAH, dosa yang teramat besar – untuk kembali kepada ALLAH SWT.
Siapa ajar kamu untuk boikot orang berdosa?
Adakah kamu hendak bertanggungjawab jika orang berdosa itu terus melarikan
diri daripada cahaya ALLAH akibat pemboikotan, celaan, hinaan kamu
kepadanya? Bagaimanakah kamu akan menjawab di hadapan ALLAH bila orang
larut dalam dosa kerana membecin tindakan kamu itu berkata: " YA ALLAH, aku
jauh dari hidayah KAU sebab si fulan ni ajak orang boikot aku, hina aku,
cela aku. Aku benci kepadanya, sebab itu aku jauh dari hidayah KAU"
Apakah yang kamu hendak menjawab bila ALLAH tanya: " Kenapa kamu berputus
asa dengan hambaKu ini? Sedangkan AKU tidak pernah berputus asa untuk
mengampunkan hamba-hambaKu?"
Apakah yang kamu belajar daripada Nabi Nuh yang terusan berdakwah selama
950 tahun? Bagaimanakah kammu belajar daripada Rasulullah SAW yang terus
mendoakan kebaikan walau dibaling batu sehingga terperah darahnya?
Kamu panggil kamu golongan kebenaran? Mengajak kepada kebaikan? Maka kenapa
kamu mencela-cela, menghina-hina, memulaukan mereka yang memerlukan lagi
teguran kamu, nasihat kamu, bimbingan kamu?
Da'ie jenis apakah kamu?
Menegur ada caranya. Hikmah. Bukanlah hikmah ini berlembut semata-mata.
Tetapi hikmah ini kena dengan caranya, ada stepnya, ada gayanya, kena
dengan keadaan, sesuai dengann sasaran. Bukan semua manusia boleh ditegur
kasar, bukan semua manusia boleh ditegur lembut. Da'ie perlu mempunyai
kemahiran menilai.
Jika tidak, apa guna ilmu waqi'? Untuk tahu politik sahaja kah?
Jika tidak, apa guna ta'aruf? Sekadar hendak kenal biar boleh menghukum
kah?
Kalaulah Rasulullah SAW berputus asa ketika baginda dibaling batu dengan
teruk di Ta'if, maka iman dan ISLAM itu tidak sampai kepada kita hari ini.
Maka siapakah kamu yang hendak berputus asa dengan sikap seorang hamba
biasa?
" Dia budak agama, takkan tak faham-faham lagi?"
Habis, Nabi Adam juga tertipu dengan syaitan. Apakah kamu hendak menyatakan
Nabi Adam itu tidak faham? Ka'ab bin Malik, sahabat Rasulullah SAW juga
pernah tidak pergi beperang kerana terleka dengan dunia. Maka apakah kamu
hendak menyatakan kamu lebih faham ISLAM daripada Ka'ab bin Malik?
Tegurlah dengan sebaik-baik teguran. Jangan kerana kamu, manusia jauh
daripada rahmat ALLAH. Da'ie tugasnya menyeru. Hakim baru tugasnya
menghukum.
Sama-sama kita muhasabah. Muhasabah berkenaan ikhtilat. Dan muhasabah
bagaiamana hendak mengajak manusia menjauhi ikhtilat.
Ps: Terima kasih kepada Abang Baha (nama sebenar Faiz bin Hamzah), pelajar
tahun akhir Kuliah Adab (bahasa) di University of Yarmouk, merangkap
Presiden PERMAIN (Persatuan Pelajar Melayu Irbid) kerana memberikan
penerangan berkenaan Ikhtitlat ini, dan membahaskannya dari uslub bahasa
arab. Saya secara jujurnya, terkesan dengan ceramah beliau, dan mata saya
terbeliak besar memerhatikan betapa mendalamnya ayat-ayat ALLAH, kemasnya
susunan ALLAH terhadap Al-Quran ini. Al-Quran, ternyata bukan untuk kita
baca kemudian simpan. Tetapi untuk kita tadabbur, perhatikan, dan amal.
__._,_.____,_._,___